Tuesday, July 31, 2012

Laksa Nyonya

Allah hu Rabbi....dah bersawang dah blog saya ini. Kesibukan berkerja, belajar (ya saya masih bergelar mahasiTUA), mengendalikan 3 buah kedai dan melayan kerenah 3 anak dan 3 ekor kucing yang berbeza perangai benar-benar menyebabkan saya tertinggal di akhir garisan. Bukan tidak mahu terus berkongsi khazanah ilmu memasak yang tidak seberapa ni, tapi saya rasa masa amat menjerut kehidupan harian. Setiap hari sampai di rumah, yang saya nampak hanyalah kamar mandi yang akan meluruti segala lelah dan lesu serta tilam dan bantal empuk untuk memanjakan diri setelah penat seharian mengejar jadual kerja.

Agaknya inilah dikatakan nikmat umur ya...kala muda, berdesup sana sini macam peluru satu apa pun tak dirasa. Semenjak menjadi ahli 40 Carat Exclusive Club ini, baru terasa segala sendi-sendi pun mula berkarat juga rupanya huhu.

Rasanya masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan salam Ramadhan Al-Mubaraq kepada rakan-rakan. Bulan penuh dengan rahmat dan baraqah ini dilalui sekali lagi dan diharapkan dapat juga kita mengharung Ramadhan yang bakal berlangsung di tahun-tahun mendatang, insya'allah.

Semalam kami berbuka dengan Laksa Nyonya sahaja. Malas menyediakan macam-macam sebab hanya tinggal berlima. Makan pun tak seberapa, maka sejenis pun sudah besar rahmat rezeki buat kami. Cuma encik suami rajin berhenti di bazaar dalam perjalanan pulang kerja. Itu pun hanya kuih tako dan masalodeh dibeli....pun masih bersisa sehingga kami pulang terawih!

Laksa nyonya ni, hampir sama seperti kalsa johor. Cuma tidak menggunakan ikan dan lebih mudah membuatnya. Isi lauk boleh menggunakan macam-macam seperti udang, kerang, fish cake/ball, juga isi ayam. Tapi dek kerana isi ayam keras kejong di dalam peti ais, saya meleburkan udang sahaja hehe....sedap juga kata Safra dan adik :-)

BAHAN KUAH LAKSA
1/2 kg udang sederhana besar
2 keping tauhu goreng masin (dihiris)
10 keping tauhu pok (dibelah 2)
50 g udang kering*
segenggam ikan bilis*
2 inci belacan* (bahan * dikisar bersama)
Daun kesum
2 kuntum bunga kantan dibelah 2
santan pekat (dari sebiji kelapa)
3 sudu besar kerisik
1 liter air rebusan kulit udang
4 labu besar bawang merah^
3 batang serai^
1 inci lengkuas^
10 biji buah keras^
5 sudu besar cili kering kisar
1 sudu jintan manis
1 sudu jintan putih
2 camca besar ketumbar biji^(bahan^ dikisar halus)

Cara membuatnya:
  1. Tumiskan bahan-bahan kisar ^ dan bahan * bersama di dalam kuali yang agak lebar sehingga pecah minyak.
  2. Masukkan air rebusan kulit udang, santan dan renih dengan api kecil.
  3. Apabila telah mendidih; masukkan udang, tauhu dan tauhu pok. Masukkan juga daun kesum dan bunga kantan ke dalam kuali. Jika kuah pekat, tambahkan sedikit air. Rasakan dengan garam secukup rasa. Bila kuah telah mendidih sekali lagi, matikan api. 

Saya menggunakan spghetti sebagai laksa. Kali ini saya menggunakan pasta angel hair yang halus sedikit jika dibandingkan dengan speghetti biasa. Laksa nyonya ini sedap dimakan begitu saja atau boleh disertakan dengan sambal belacan cili kering. Cara menyediakan sambal ciri kering itu boleh didapati di sini.....





No comments:

Post a Comment