Thursday, August 18, 2011

Bonda jua bertakhta di hati.....

Kalau teringin makan juadah yang satu ini, pasti mengimbau berbagai rasa....Resepi turun temurun dari arwah Nenek kepada Mak dan kini kepada saya. Ironinya, kami bertiga anak sulung dari keluarga dan takdirnya anak sulung itu lahirnya perempuan ~ iaitu kami bertiga......

Renyah dan leceh juga Laksa Johor ni....

Saya hanya akan memasaknya jika bahan2 yang perlu cukup lengkap. Bukan apa....saya berusaha mengekalkan rasa yang diajar kepada saya. Setiap kali menyediakan Laksa ini, saya dihimpit sayu kerana ketika belajar memasak kuah inilah saya diketuk dengan sudip panas oleh arwah Nenek kerana malas mengacau kuah. Malah ketika menaip entri ini, air mata saya bergenang kerana terkenangkan sikap garang tetapi penyayangnya itu. Ilmu dan minat saya di dapur hasil dari asuhannya kerana saya banyak menghabiskan masa bersamanya di Singapura; sehinggakan saya memanggilnya Mak juga...... Mungkin disebabkan saya cucu sulung, perempuan pula; maka beliau rasa perlu membentuk saya menjadi suri yang sempurna. Semoga rohnya tenang di sana dan ditempatkan di kalangan mereka yang menjadi kekasih Allah. Amin.....Aduhhh! Betapa saya rindukan dirinya :-((



Hmm...kita tinggalkan sebentar rasa sedih saya. Saya kongsikan resepi ini, agar ilmu yang diperturunkan kepada saya dapat dipanjangkan kepada yang lain. Semoga barakah dan pahalanya akan diterima arwah Nenek....

Laksa Johor Bonda

Bahan Kuah: 
1 kg isi ikan tenggiri/parang (direbus & dikisar)
2 liter air rebusan ikan
5 keping asam gelugur
15 ulas bawang merah (dikisar)
3sudu besar udang kering (dikisar)
1 sudu kecil cili kisar
5cm halia (dikisar)
5cm lengkuas (diketuk)
4 batang serai
2 sb serbuk ketumbar
secekak daun selasih
secekak daun kesum
kerisik dari 1/2 biji kelapa
5 cawan santan dari sebiji kelapa

1 paket speghetti (direbus)

Bahan hiasan
1 biji timun (dihiris)
1 biji bawang besar (dihiris)
1 tangkai daun kesum (dihiris)
1 batang bunga selasih (dihiris)
2 tangkai cili merah (dihiris)
Limau kasturi (dibelah)

Sambal Belacan Cili Kering
5 cm belacan bakar
25 tangkai cili kering
(Bahan2 dikisar bersama sehingga lumat)

Cara –cara menyediakan kuah:
1. Kisar bawang merah, lengkuas, bawang putih, halia & serai.
2. Tumiskan bahan kisar dan udang kering.
3. Masukkan cili kisar, serbuk kari dan ketumbar. Masak hingga garing dan pecah minyak.
4. Kemudian masukkan isi ikan, santan, garam, daun selasih, daun kesum dan asam keping.
5. Biarkan mereneh atas api yang perlahan hingga kuahnya pekat.
6. Cara menghidang; masukkan spageti dalam mangkuk. Letakkan sayuran.
7. Tuangkan kuahnya dan hidangkan dengan sambal belacan.



Selamat yaaaa..............

No comments:

Post a Comment