Sunday, February 12, 2012

Les quiche et épinards aux champignons.....tergeliat lidah ehhh!!!

4 ketul ini sampai ke SJKC Wen Hua  :-))
Hello... Hello!

Assalamualikum pada semua... Semoga hujung minggu ini lebih ceria dan gembira. Hujung minggu saya penuh acara mengukur jalan....Sabtu 'melawat' hampir seluruh jalan Bandaraya Melaka; menghantar adik ke tahfiz, mengutipnya kembali, berjumpa kontraktor, berkejar melawat Maria di Sg. Udang, berhambat ke rumah emak di Taman Jati berjumpa katerer dan akhirnya meneman Encik suami ke Seremban dan sampai rumah jam 2 pagi.....Hari ini, sesudah subuh menghala ke NS lagi... ke Mantin pulak untuk Maulidur Rasul di sekolah Safra. Tengahari membawanya ke Jusco mencari kasut futsal (yaaa....anak dara sorang ini main futsal!!) sebelum kami berdua merempit balik ke Melaka semula huhu.....Maka dapur pun bercuti am juga hehehe!

Entri ini seharusnya hari Jumaat saya membereskan dan update....Dek kerana kaki bermeter ligat, tertangguh jadinya. 2 hari yang lepas, saya membuat quiche (disebut keesh) untuk bekal Danial ke sekolah. Terlanjur buat, saya lebihkan untuk dibawa ke pejabat. Oh! Mcm magic show, quiche hilang sekelip mata. Memang seronok makan ramai-ramai ni. Sedar tak sedar, licin pinggan. Dan bila sedar, baju dah mula sendat huhu! Berbalik pasal quiche, hidangan ini menggunakan pastri. 

Sebab itu quiche juga dikenali sebagai open pie. Perkataan quiche ini berasal dari bahasa Perancis dan ia bermakna masakan yang menggunakan pastri tat sebagai dasar. Saya memang suka membuat quiche atau pai. Selain mudah menggayakan bahan untuk membuatnya, ia juga mengenyangkan untuk jangka masa yang lama :)  Jadi, quiche akan berada di atas meja kalau saya malas memasak lauk-pauk heeeeee!! Tambah-tambah baru lepas memborong acuan tartlet berbentuk 'love' kat Pantry Magic minggu lepas, lagi ler berkobar-kobar nak 'menerai' acuan baru hehehe!!

Quiche yang sangat versetile....
Saya suka membuat doh pai secara berlebihan dan kemudian saya simpan di dalam freezer. Lepas itu, saya akan menggunakan sekadar yang perlu sama ada untuk tat manis atau apa-apa pai. Membuat kulit tat atau pai tidak perlu masa yang lama. Untuk mendapat kulit pai yang rapuh, suhu memainkan peranan yang paling penting. Mentega atau lelemak yang digunakan perlu sejuk, begitu juga dengan air. Saya selalunya meletakkan beberapa ketul ais di dalam air yang digunakan untuk menguli doh. Kulit pastri tidak boleh diuli lama seperti roti untuk mengelakkan gluten di dalam tepung daripada terbentuk. Kalau diuli lama-lama, pastri akan liat. Selain itu, menguli terlalu lama juga menyebabkan mentega di dalam doh menjadi cair dan kulit pastri akan berminyak. Doh yang telah siap, perlu dibalut dengan plastik dan disimpan di dalam peti ais sekurang-kurangnya 30 minit untuk menstabilkan mentega. Petua dari Anna Olsen, chef siri Sugar di AFC; doh juga perlu direhatkan di dalam peti ais selama 15 minit setelah dicanai dan diletakkan di dalam acuan. Ini untuk mengelakkan kulit pastri mengecut setelah dibakar. Ketuhar juga perlu dipanaskan sekurang-kurangnya 10 minit sebelum membakar kulit pai.

Jom kita tengok bahan dan cara membuat quiche ini.....

Les quiche et épinards aux champignons
(Spinach and Mushroom Quiche)

Bahan pastri
2 1/2 cawan tepung serbaguna (Saya guna tepung gandum)
125 g mentega (sejuk)
1 telur
secubit garam
air ais

Cara membuat
  1. Mentega dipotong dadu dan disejukkan di dalam peti ais selama 3 jam.
  2. Masukkan telur, mentega dan tepung di dalam pengisar makanan (Saya guna blender). Kita akan dapat hasil seperti serbuk roti.
  3. Keluarkan dari pengisar dan campur air ais sedikit demi sedikit sehinggan boleh dikepal. 
  4. Bungkus dengan plastik dan sejukkan 30 minit di dalam peti ais.
  5. Keluarkan dari peti ais dan canai ikut acuan pai.
  6. Cucuk dengan garpu dan bakar di dalam oven (suhu 185) yang dipanaskan terlebih dahulu. 
  7. (Pemberat seperti guli pembakar atau beras atau kacang hijau perlu diletakkan di dalam acuan pai semasa membakar untuk mengelakkan kulit dari pecah)

Bahan inti.
Bahan A
250 g ayam/daging cincang
Sedikit lobak merah 
Sedikit kapsikum
Sedikit daun bayam
1 biji bawang besar diracik
2 ulas bawang putih dihiris
garam dan lada sudah secukup rasa

Bahan B
250 ml susu segar (saya guna susu tepung yang dibancuh dgn air)
3 biji telur
keju mozarella 
secubit garam

Cara membuat
  1. Lobak merah dan kapsikum dipotong dadu kecil.
  2. Daun bayam diambil daun sahaja dan dihiris.
  3. Tumiskan bawang merah dan putih sehingga naik bau.
  4. Masukkan daging masakkan hingga tiga suku masak. 
  5. Masukkan lobak merah dan kapsikum. Balik-balikkan dan padamkan api. Sayur jangan terlalu layu.
  6. Ratakan inti di dalam kulit pai yang telah siap. Taburkan bayan yang dihiris.
  7. Pukul telur dan susu bersama. Letakkan secubit garam.
  8. Tuangkan campuran susu dan telur ke dalam inti pai. 
  9. Taburkan keju dan bakar di dalam oven selama 45 minit atau pai kekuningan.

Sebelum dan selepas potong.....

No comments:

Post a Comment