Friday, September 23, 2011

Mustika Acar

As-salam buat semua............

Jumaat datang lagi, bersyukurlah kita sebab diberi kesempatan melalui Penghulu Hari ini dengan kudrat yang dilimpahi Allah. Bulan Syawal bakal berlalu dan tiba nanti bulan-bulan mengerjakan ibadah haji. Beruntunglah mereka yang mendapat jemputan untuk bertamu di Baitullah pada tahun ini....

Teringat saya kepada datuk dan nenek kita yang mengerjakan haji menggunakan kapal laut. Pelayarannya saja mencecah berbulan-bulan malah ada yang mengatakan 6 bulan. Mereka dikatakan membawa berbagai bekalan makanan yang tahan lama seperti serunding dan acar..... dan bercakap mengenai acar ini, teringat pulak jeruk yang berbagai! Haiii....kecur air liur dibuatnya.

Acar (juga dikenali sebagai Achar अचार dalam bahasa Hindi, atau "pickle" dalam bahasa Inggeris) adalah perkataan Hindi yang bermaksud pelbagai hidangan sampingan yang mempunyai perasa rempah  dan masam manis yang popular di rantau India, Asia Tenggara serta kawasan-kawasan yang mempunyai komuniti Asia Selatan yang ramai.

Minggu lepas, kami mengadakan rumah terbuka untuk saudara mara dan rakan-rakan. Head count aje mencecah 300 orang...saya mengambil langkah selamat dengan mengupah katering. Cuma satu aje lauk yang disediakan sendiri....Acar Buah. Harganya yang mahal seperti emas (RM42/kg) menyebabkan saya membuatnya juga walaupun renyah :-(

Resepi ini saya dapat dari tuan rumah; Makcik Rodiah, sewaktu saya menyewa bilik semasa awal perkahwinan kami pada awal tahun 90-an. Saya dan suami berkahwin ketika sama-sama masih menuntut dan hanya mampu menyewa bilik pada masa itu. Namun keramahan dan kebaikan Makcik Rodiah memudahkan kehidupan awal kami dan daripadanya saya banyak belajar rahsia masakan utara yang menjadi kegemaran suami (sbb en husband orang Kedah huhu).



Kuali agak dalam perlu untuk jeruk dikacau sebati
Jeruk buah campuran










Acar ini tidaklah sesusah mana bahannya cuma tempoh memasaknya yang lama agak melecehkan sedikit. Cuma perlu buah jeruk campuran mengikut citarasa sendiri dan sebuah kuali yang agak dalam....serta KUDRAT YANG KUAT untuk mengacaunya sebab acar ini BERAT!


ACAR BUAH

Bahan:
500 gm buah jeruk campur
50 gm kurma dibuang biji - direbus bersama secawan air & dikisar
50 gm gula merah
50 gm gula pasir
6 sb rempah kari daging
15 tangkai cili kering dikisar
15 ulas bawang kecil (saya guna bawang rose sbb rasanya lebih manis) - biar bulat
10 ulas bawang putih - dibelah 4
2 inci halia - ditumbuk
1 sb ketumbar - disangrai tanpa minyak & dikisar halus
2 batang kulit kayu manis
1/3 cawan cuka
1 cawan air
sedikit bijan goreng (kali ni saya tak letak sbb mals menggoreng bijan banyak2 huhu)
garam
minyak untuk menumis

Cara menyediakan
  1. Masakkan cuka dengan air di dalam periuk bersama-sama gula merah & putih. Biar didih dan padamkan api. Masukkan bawang merah dan ketepikan.
  2. Pijarkan minyak di dalam kuali yang agak besar dan dalam. Tumiskan bawang putih dan biar kekuningan baru dimasukkan halia, kulit kayu manis & cili kisar. Cili hendaklah garing baru dimasukkan rempah kari. Tumis hingga masak dan pecah minyak.
  3. Masukkan air cuka mengandungi bawang & kurma yang dikisar. Kecilkan api dan masukkan jeruk campur tadi.
  4. Acar hendaklah dimasak sehingga pekat dengan api kecil. 


Perlu rajin mengacaunya sebab kurma kisar akan menyebabkan acar mudah hangus. Jika dimasak dengan sabar & betul-betul masak, acar buah ini boleh bertahan sehingga 6 bulan tanpa diletakkan di dalam peti sejuk.

Semenjak majlis hari Sabtu itu....ramai teman husband yang tanya ~ orang rumah ambil tempahan tak? Alahaiiiiiiiiiii.............

No comments:

Post a Comment